Siapakah Sahabat Rasulullah Yang Dimandikan Oleh Malaikat
Siapakah Sahabat Rasulullah Yang
Dimandikan Oleh Malaikat | Bercakap tentang pergorbanan para sahabat
waktu ketika dahulu memang tiada tandingannya. Mereka sanggup berkorban
apa sahaja demi Islam. Jadi tidak hairanlah, apabila seorang sahabat
yang dikenali sebagai Hanzalah bertindak menyertai peperangan bersama
Rasulullah SAW biarpun dirinya baru sahaja mengadakan majlis pernikahan.
Ia biarkan rasa seronok, semata-mata untuk memberi kemenangan kepada
Islam. Allahuakhbar!
Perkahwinan Hanzalah bin Abu Amir dengan
sepupunya, Jamilah binti Ubay sudah siap diatur. Kebetulan pula, hari
berlangsungnya perkahwinan Hanzalah bertembung dengan hari peperangan
tentera Islam menentang musuh di Bukit Uhud. Hanzalah bin Abu Amir
mendekati Rasulullah s.a.w., “Saya bercadang menangguhkan sahaja
perkahwinan saya malam nanti.” Pada masa itu, Nabi Muhammad s.a.w. dan
tentera-tentera Islam di kota Madinah sibuk membuat persiapan akhir
untuk berperang. “Tidak mengapa, teruskan sahaja perkahwinan ini,” balas
Rasulullah s.a.w.. “Tetapi saya sungguh berhajat bagi menyertainya, ”
Hanzalah bertegas. Rasulullah s.a.w. berkeras supaya Hanzalah meneruskan
perkahwinannya dan memberi cadangan supaya Hanzalah menyusuli tentera
Islam di Bukit Uhud pada keesokan hari, setelah selesai upacara
perkahwinan.
Hanzalah mendiamkan diri. Ada benarnya
saranan Nabi Muhammad itu; perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan
dirinya bahkan bakal isterinya juga. Pada malam Jumaat yang hening,
perkahwinan antara Hanzalah bin Abu Amir dan Jamilah binti Ubay
dilangsungkan secara sederhana. Suasana yang hening dan sunyi itu tidak
tenang hingga ke pagi. Kota Madinah tiba-tiba dikejutkn dengan paluan
gendang yang bertubi-tubi. Paluan gendang mengejutkan para pejuang
bersama laungan menyebarkan berita.
“Bersegeralah! Kita bersegera perangi musuh Allah.”
“Berkumpul segera! Keluarlah! Rebutlah syurga Allah!”
“Perang akan bermula!”
Pukulan gendang dan laungan jihad itu
mengejutkan pasangan pengantin yang baru sahaja dinikahkan. Hanzalah
bingkas dari tempat tidurnya, “Saya harus menyertai mereka.” “Bukankah
malam ini malam perkahwinan kita dan Nabi Muhammad mengizinkan kanda
berangkat esok?” Soal isterinya. Hanzalah menjawab tegas, “Saya bukanlah
orang yang suka memberi alasan bagi merebut syurga Allah.”
Hanzalah melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang. Akhirnya, dia berjaya bergabung dengan tentera Islam yang tiba lebih awal daripadanya.
Di medan perang, jumlah tentera musuh adalah seramai tiga ribu orang yang lengkap bersenjata manakala jumlah tentera Islam hanyalah seramai seribu orang. Perbezaan itu tidak menggugat sanggar wibawa tentera Islam termasuklah Hanzalah. Dia menghayun pedangnya menebas leher-leher musuh yang menghampiri dan apabila dia terpandang Abu Sufyan, panglima tentera Quraisy, Hanzalah menerkam Abu Sufyan umpama singa lapar. Mereka berlawan pedang dan bergelut; akhirnya Abu Sufyan sungkur ke tanah. Tatkala Hanzalah mengangkat pedang mahu menebas leher Abu Sufyan, dengan kuat panglima tentera Quraisy itu menjerit menarik perhatian tentera Quraisy. Tentera-tentera Quraisy menyerbu Hanzalah dan Hanzalah tewas, rebah ke bumi.
Sebaik sahaja perang tamat, tentera Islam yang tercedera diberikan rawatan. Mayat-mayat yang bergelimpangan dikenalpasti dan nama-nama mereka, tujuh puluh orang kesemuanya, dicatat. Sedang Nabi Muhammad yang tercedera dan patah beberapa batang giginya diberi rawatan, beliau mengatakan sesuatu yang menyentak kalbu, “Saya terlihat antara langit dan bumi, para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air daripada awan yang diisikan ke dalam bekas perak.” Abu Said Saidi, antara tentera yang berada dekat dengan Nabi Muhammad bingkas mencari jenazah Hanzalah. “Benar kata-kata Nabi Muhammad. Rambutnya masih basah bekas dimandikan!” Abu Said Saidi menyaksikan ketenangan wajah Hanzalah walaupun beliau cedera parah di seluruh badannya. Rambutnya basah dan titisan air mengalir di hujung rambutnya sedang ketika itu matahari terik memancar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan